Pages

Monday, October 13, 2008

PERJUANGAN MAHASISWA PROGRESIF: DULU, KINI DAN MASA DEPAN

Dunia mahasiswa adalah dunia yang penuh disaluti dengan sifat romantis dan konflik. Disebalik tugas mahasiswa menelaah pelajaran, aktiviti luar kampus mahasiswa akan membuktikan tahap kematangan dan kedewasaan mahasiswa dalam wacana intelektual, nasib dan isu kemasyarakatan, politik, kesenian, kebudayaan, keagamaan, bermuamalat dan berekonomi. Atau pun mahasiswa lebih selesa dengan dunia remaja yang khayali pro negatif sementara menunggu dunia kiamat.
Kampus Negara: http://kampusnegara.net/ [Himpunan Suara Mahsiswa Malaysia & Dari Kampus ke Lapangan Umat]
Mahasiswa progresif(MP) adalah mahasiswa yang aktif, penggerak dan peneraju panji-panji tenaga-idea aktiviti kampus, dan prihatin terhadap persekitaran masyarakat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial sama ada peringkat nasional atau internasional.
Ujaran daripada Dato Seri[dulunya saudara] Anwar Ibrahim yang dianggap idola gerakan pelajar di atas memberi satu gambaran betapa besar risikonya menjadi mahasiswa progresif yang ‘radikal’ dalam politik. Risiko inilah yang diambil oleh MP dan sukar untuk diterima oleh mahasiswa pasif.
MP adalah golongan minoriti di kalangan ribuan mahasiswa yang terlena sebagai ulat buku sepenuh masa yang bertapa di labrary dan rumah sewa serta kolej, pemabuk hedonisme, pejiwang terlampau, perayau malam dan ‘anjing-anjing’ kemalasan yang lepak, tidur, bervideo games, makan, berak, bersikap pasif dan berbudaya ‘bersenangan’ di rumah sewa atau kolej. Itulah kelainan MP dengan mahasiswa lain yang selesa dengan hidup mencari ilmu tanpa roh dan praktikal, ingin cari kerja atau impiana khayali yang negatif dan ianya jelas berbeda dengan MP yang berteras gerak kerja yang amali, berketrampilan, motivasi kendiri, dan keluasan jaringan pengaruh.

CABARAN MAHASISWA PROGRESIF

Aktiviti Mahasiswa Progresif (MP) lebih terserlah dalam bidang politik nasional atau kampus berbanding aktiviti perekonomian atau sosial mereka. Pembicaraan mahasiswa dan politik sengaja diperbesarkan sehingga menenggelami isu lain kerana isu politik ini melibatkan pemilik kuasa yang bimbang dicabar atau digugat oleh anak seluang yang baru belajar berenang di kancah politik. Pemilik kuasa iaitu kerajaan dan penguasa varsiti sangat membimbangi pengaruh anak seluang ini mempengaruhi atau membangkitkan kesedaran rakyat dan mahasiswa atas pengalaman pemilik kuasa pada tahun 1970an dan rakan-rakan pemilik kuasa di luar negara yang tumbang dek kelantangan suara mahasiswa progresif seperti yang berlaku di Indonesia. Tradisi mencabar ini dibimbangi akan menjejaskan periuk nasi politik dan ditakuti juga mengempiskan kebuncitan ekonomi kaum pemodal.

Kewujudan MP disebabkan tekanan dalaman dan luaran kampus, kesedaran dan peka terhadap nasib bangsa, keinginan mengunakan keupayaan, potensi diri dan peluang di varsiti untuk berpolitik, berekonomi dan bersosial dengan masyarakat atau sesama pelajar (inter-kampus). Maka muncul mahasiswa progresif dalam politik dan ekonomi melalui kewujudan usahawan kampus, solidariti mahasiswa memperjuangkan hak asasi dan sasterawan kampus, contoh. MP juga adalah manifestasi sikap anak muda yang memberontak, terburu-buru, emosi dan romantis. Ruang istimewa di varsiti dan desakan persekitaran masyarakat membolehkan peneluran sifat kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam sesuatu lapangan. MP sanggup merubah zaman, MP bersemangat ‘lawan tetap lawan’, MP sanggup menongkah arus dan berani gagal. Begitulah azam dan semangat golongan MP.

Perjuangan MP adalah perjuangan anak muda yang ingin mengubah dan mencabar sesuatu sistem. Sistem yang teguh ingin ditelusi oleh MP yang hingusan agak khayali untuk dicapai di alam realiti. Reformasi yang diingini sungguh ‘mustahil tetapi tidak mustahil’ ini perlukan kerjasama rakyat untuk menjayakannya. Hayatilah serangkap sajak Rendra bagi sesiapa yang ingin mencabar sistem yang berkuasa membuat segalanya kecuali menjadi tuhan ini.
apa disangka kentut bisa mengganti rasa keadilan ?di negeri ini hak asasi dikurangi justru untuk membela yang mapan dan kaya buruh, tani, nelayan, wartawan dan mahasiswa dibikin tidak berdaya
Rendra....
Justeru, bagi merealisasikan impiana yang khayali ini, MP perlukan satu proses pengkaderan yang mantap dan berterusan. Kader-kader ini perlu bertebaran segenap ceruk masyarakat dan organisasi termasuk kerajaan, seterusnya menyerap dan mengubah dari dalaman dengan penjernihan akhlak dan tauhid secara evolusi dan ketika itu juga rakan-rakan diluar secara berterusan melawan sistem yang korup itu. Sabar dalam perjuangan, itulah ungkapan bagi sesiapa yang ingin mengubah sistem.

Mahasiswa Progresif: Satu Perjuangan

Dalam konteks Malaysia, perjuangan Mahasiswa Progresif(MP) dibahagikan beberapa pendekatan dan aliran. Dimulai dengan isu kebajikan dan kebudayaan pada era 1960an, aliran sosialis, nasionalis dan nasionalis Islamis pada era 1970an, Islamis tulen pada tahun 1980an dan 1990an dan kini ‘Islam bersama hadhari’ pada tahun 2000an. Walapun perjuangan MP adalah perjuangan sekelompok mahasiswa tetapi perjuangan ini boleh merebak pengaruhnya di kalangan mahasiswa lain kerana mereka adalah golongan berpengaruh dan aktif di varsiti. Perjuangan yang dilihat sebagai plural ini mempunyai persamaan yang paling ketara kerana digerakkan oleh golongan yang sama tetapi berbeda aliran dan pendekatan iaitu Mahasiswa Progresif.

Peralihan ke arah mahasiswa bersama masyarakat mula memutik pada akhir 1960. Pada ketika inilah golongan sosialis melalui Kelab Sosialis Universiti Malaya telah berperanan sebagai jurubicara masyarakat. Watak utama perjuangan rakyat ini adalah Syed Hamid Ali dan Sanusi Osman. Merekalah yang mengoncangkan negara dengan berdemonstrasi di Teluk Gong setelah penangkapan wira pejuang tanah untuk rakyat, Hamid Tuah. Syed Hamid Ali sekali lagi mengetarkan lutut pemilik kuasa apabila terlibat dalam demonstrasi rapat umum pilihan raya 1969. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM) telah memberi bantuan berbentuk tenaga kerja dan peralatan seperti bas PMUM untuk gerak kerja parti pembangkang. Apabila Tunku Abdul Rahman menuduh mahasiswa terlibat membantu pembangkang dan tuduhan disambut dengan ajakan berdebat oleh Syed Hamid Ali mewakili pelajar dengan Tunku. Ajakan ini menyebabkan Tunku mengubah kenyataannya di dada akhbar. Begitulah perkasanya suara mahasiswa pada masa silam.

Butir permata gerakan pelajar terus bergemerlapan apabila munculnya tokoh idola paling berpengaruh dalam gerakan pelajar dan politik negara ini iaitu Saudara Anwar Ibrahim, seorang jurubicara ummat melalui suara hati nurani rakyat. Tokoh nasionalis-Islamis ini telah bekerjasama dengan ultranasionalis Melayu, Dr. Mahathir Mohammad yang berideakan ‘dilema Melayu’ telah mengoncang kestabilan kerajaan Tunku. Desakan kedua-dua ‘kekasih’ ini menyebabkan Tunku ‘mati pucuk’ untuk mentadbir dan menyerahkan kuasa kepada rejim Tun Razak. Anwar Ibrahim melalui Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) berterusan menyerang kerajaan dan penguasa universiti di bawah pimpinan Ungku Aziz terutamanya isu bahasa dan isu nasib pelajar Melayu. Kebangkitan pelajar Islam mulai berputik pada awal tahun 1970an semasa PKPIM memimpin demonstrasi rakyat Pathani sempena lawatan Perdana Menteri Thai, pada ketika inilah Aziz Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekarang telah ditahan polis.

Sementara itu, Kelab Sosialis Universiti Malaya dan PMUM juga aktif memperjuangkan isu rakyat marhaen dan antarabangsa. Tokoh sosialis yang bersuara lantang dan tidak peka agama adalah Hishamuddin Rais dan Kamarazaman Yaacob. Hishamuddin Rais yang berjiwa romantis dan tergesa-gesa ini telah berjuang bersama rakyat di Tasik Utara. Kesepaduan pelajar nasionalis-Islamis dengan pelajar Sosialis terjelma apabila mahasiswa bersatu dalam isu kemiskinan rakyat Baling. Demontrasi raksasa ini dipimpin oleh Anwar Ibrahim selaku Presiden Majlis Belia Malaysia menyebabkan AUKU telah dipertegaskan oleh ‘kekasih’ Anwar, Dr. Mahathir di Dewan Rakyat. AUKU 1975 yang dipertegaskan ini dikatakan punca kemandulan gerakan pelajar pada masa kini. Pada masa ini juga munculnya Ibrahim Ali (wakil PKPIM dan YDP Kesatuan Siswa ITM [KSITM]) yang turut membantu Anwar memanaskan suasana demonstrasi.

Selepas peristiwa Baling, dunia mahasiswa bagaikan tidak beraliran. Sebenarnya, gerakan pelajar mula dikuasai oleh pelajar nasionalis yang pro HEP dan pembodek kerajaan. Aktiviti lebih kepada kebudayaan, hiburan, kebajikan dan kemasyarakatan sehingga muncul istilah Bakti Siswa dan OPKIM yang begitu popular. Dalam masa inilah PMIUM dibawah pengaruh ABIM-PKPIM mula dianaktirikan menyebabkan mereka ini bercita-cita menguasai PMUM [golongan Islamis cuba menguasai kampus kerana hak autonomi persatuan seperti kebebasan melaksanakan program dan hak pemilikan harta benda termasuk dana kewangan telah diletak di bawah HEP dan HEP hanya mengiktiraf PMUM sebagai satu-satunya kuasa yang boleh mentadbir aktiviti pelajar secara umum]. Syed Dawilah al Edrus yang memimpin PMIUM memulakan langkah tetapi hanya menang dua kerusi. PMIUM hanya boleh berkuasa pada tahun 1979 dengan mendapat kerusi sama jumlahnya dengan pelajar nasionalis. Kebertuahan pelajar nasionalis-Islamis, apabila seorang pelajar neutral telah menarik balik sokongan terhadap pelajar nasionalis. PMUM buat pertama kali dipimpin boleh cahaya Islamis dengan pengaruh ABIM-PKPIM di bawah pimpinan Anual Bakri Haron (kini S.U Menteri Besar Kelantan).

Cahaya Islam terus gemilang di kampus-kampus di tanah air apabila proksi ABIM-PKPIM mula berkuasa di UKM dan UPM. Cahaya ini juga menyinari UTM, ITM (dibawah tokoh kecerahan IKD dan ketua Penerangan Parti Keadilan) dan USM. Walaupun pelajar nasionalis-Islamis berjaya ditumbang pada tahun 1980, pelajar Islam ala ABIM-PKPIM ini bangkit kembali menguasai kampus. Husam Musa selaku Setiausaha Agung PBMUM turut berperanan mendesak dan mengutuk kerajaan dalam isu penghinaan terhadap Islam [dikemuka oleh Tunku dalam kolum mingguannya dan Ketua Pemuda UMNO] manakala Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen UMNO Kemaman) telah memimpin pelajar dalam demonstrasi anti Amerika. Di ITM, ‘Ustaz cerah’ Khalid Jaafar, tokoh pencerah yang elitis pula memimpin demonstrasi di Shah Alam. Pada era 1980an, UKM telah muncul sebagai kem ABIM-PKPIM dibawah kelolaan Mustapha Kamil Ayub. Saudara Mus yang berintelek ini berjaya memimpin beberapa demonstrasi yang mewakili proksi ABIM-PKPIM. Begitulah cerita ringkas gerakan pelajar 1980an yang dianggap zaman kebangkitan semula gerakan pelajar tetapi berteras Islam.

Cahaya Islamis terus mantap apabila pelajar Islam tulen di bawah pengaruh PAS mula mendapat tempat di kampus-kampus terutamanya di Universiti Malaya, UPM dan UKM. Idealis PAS mula digerakkan sejak Anwar Ibrahim memasuki UMNO dibawah kelolaan Tuan Guru Abdul Hadi Awang [beliau merupakan pemidato hebat sama macam Anwar tetapi Anwar lebih popular kerana memdampingi pelajar dan masyarakat sejak akhir 1960an lagi dan Anwar menpunyai jaringan pengaruh yang luwes di arena nasional dan internasional]. Ustaz Zulkifli Yusof buat pertama kali membentuk sebuah forum yang dinamakan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) pada tahun 1986 untuk mengumpul wakil MPP setiap kampus yang terasnya Islamik. Tokoh BBMN yang utama adalah Zulkifli Yusof daripada PMUM (kini pensyarah di APIUM). Saifuddin Nasution daripada PMUPM (naib presiden Parti Keadilan Nasional) dan Idris Ahmad (Timbalan Ketua Pemuda PAS). Perjuangan pelajar Islam tulen sampai kepada klimak apabila ramai pemimpin PMIUM ditahan termasuk dikenakan tahanan ISA pada demontrasi antikonsert Sheila Majid pada tahun 1989.

Era 1990an, bagaikan tiada penentuan kuasa yang tetap dalam politik kampus. Golongan Islamis dan nasionalis bersaing hebat dan saling jatuh menjatuhkan. Sejak kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, sebahagian besar pelajar nasionalis Islamis turut terjun ke dalam dunia nasionalisme yang dirasionalisasi oleh Anwar Ibrahim dan kroni inteklektualnya seperti Ustaz Siddiq Fadil. Walaupun perjuangan pelajar Islam kelihatan sepi, terdapat juga isu panas yang diperjuangkan oleh mereka seperti pengambilan tanah di Pulau Kundor, Melaka.

Sejak Anwar Ibrahim disingkirkan daripada jawatan kerajaan, gerakan pelajar kembali bertaut. PKPIM mula bertaut kembali dengan bekerjasama dengan wakil Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang pro PAS. Maka gagahlah pertubuhan pelajar bawah tanah di kampus masing seperti MAMPU di UKM dan GMUM di UM. Peringkat nasional pula, BBMN dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mula melakukan kemunculan semula setelah sepi di pertengahan 1990an. Suara GAMIS kelihatan lantang dibawah pimpinan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Isu Kerinci Link telah membuatkan mahasiswa menghidupkan kembali demonstrasi secara terbuka. Natijahnya, cukup positif apabila Masjid al Rahman masih kelihatan megah pada hari ini [terima kasih Pak Amjal dan rakan-rakannya]. Selain itu, juak yang dianggap luput dan terkubur iaitu juak sosialis mula muncul kembali dengan nama Universiti Bangsar Utama (UBU) pimpinan Jonah . Bebudak ini diasuh dengan amalan diskusi ideologi dan aksi jalanan oleh mahaguru mereka yang romantis, saudara Hishamuddin Rais. Walau bagaimanapun, aliran ini tidak mendapat tempat di kalangan mahasiswa massa kecuali kaki seni picisan di kampus-kampus .

Episod terakhir keperkasaan mahasiswa adalah penangkapan Fuad Ikhwan, isu majalah Varsity palsu dan pembakaran DTC di UM. Selepas episod ini, satu episod baru yang dinamakan pelajar ‘Islam bersama hadhari’. Suara Mahasiswa Progresif aliran Islamis telah dikasi secara halus menyebabkan pelajar lebih selesa dengan kegiatan Islam bersama hadhari iaitu berdiskusi dengan tajuk yang menyejukkan HEP, aktiviti bertamadun yang sama dengan aktiviti persatuan pelajar yang lain [karnival, riadah dan kauseling pelajar, main masak-masak di ESKUM, contoh]. Manakala pelajar nasionalis pula sudah luntur nasionalisnya. Mereka juga ingin memeriahkan Islam bersama hadhari dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian. Mereka bukan lagi pelajar nasionalis tulen tetapi pelajar geli (baca; lemah) gemalai dengan seni dan kebudayaan.

Hala Tuju Mahasiswa Progresif: Kini dan Masa Depan.

Pada masa kini, mahasiswa didakwa lembik, ‘mati pucuk’, lesu, pasif dan pelbagai lagi tohmahan yang dilontarkan terhadap mahasiswa. Kita tidak menafikan gejala ini turut membiak dan merebak di kalangan mahasiswa tetapi kita perlulah lebih adil dalam menilai perjuangan pelajar generasi kini dan masa depan berasaskan konteks semasa. Isu kemiskinan orang Melayu, Bahasa Melayu dan pendidikan sebagai contoh telah dicakna [tapi tidak sepenuhnya] oleh kerajaan menyebabkan mahasiswa progresif kekurangan isu untuk ditangani (secara relatifnya, banyak lagi isu yang boleh dihangat selain isu politik. Contoh, isu kemiskinan masyarakat pinggir bandar). Keterlibatan secara aktif dan berlebihan mahasiswa progresif di dalam ranjang politik menyebabkan pihak kerajaan, universiti dan media massa melabel mereka sebagai pro pembangkang. Justeru, satu proses pencambahan minda perlu diadakan untuk menilai dan berdiskusi tentang hala tuju mahasiswa progresif pada masa depan. Mahasiswa Progresif haruslah menyediakan satu pelan induk alternatif agar perjuangan mahasiswa progresif masih lagi relevan dan konsisten dalam menghadapi kedinamikan zaman. Oleh itu beberapa aspek perlu dibahaskan adalah;

a. Mahasiswa Progresif Dan Ideologi

Aliran Islamis dijangka meneruskan keteguhan pengaruhnya di kalangan mahasiswa massa walaupun pelajar Islamis mungkin tidak lagi berkuasa dalam MPP. Gerak kerja golongan pelajar Islamis lebih kepada kerja kendiri dan berkesedaran tinggi serta nekad dan setia terhadap perjuangan Islam berbanding aliran lain yang berhabuan material dan nafsu, dan menyalahi akidah Islam. Walaupun pertempuran ideologi di kalangan mahasiswa kelihatan semakin luntur, ideologi [Islam bukan ideologi tetapi satu ad din, lihat buku karangan Syed Naquib al Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin] masih lagi menjadi elemen penting dalam dasar mahasiswa progresif terutamanya Islam. Kelantangan mahasiswa progresif aliran Islamis lebih berfokus kepada menghidupkan kebenaran, keadilan dan kemurnian Islam. Isu-isu rakyat terutamanya kemiskinan bukan lagi menjadi agenda penting kerana dianggap tugas kerajaan, cuma mahasiswa progresif boleh menjadi pendesak untuk memurnikan dasar-dasar kerajaan agar komitmen kerajaan terus berlangsung. Manakala mahasiswa progresif aliran sosialis dan nasionalis dijangka akan luput kerana mereka kelihatan kebutaan dan tidak ketahuan terhadap ideologi mereka sendiri. Mereka kini semacam melakukan satu proses tranformasi ideologi iaitu ke arah kepentingan material, pangkat dan nama. Perjuangan mereka lebih kepada memenuhi ketiga-tiga unsur tersebut dan menjadi regalia [ini bermakna mereka menjadi alat pihak berkepentingan yang ingin mengekal kuasa bukan pihak memperjuangkan nilai-nilai murni seperti Islam dan kemanusiaan] untuk HEP mendapat keuntungan daripada pemerintah. Mereka kelihatan pro hiburan dan kesenian.

b. Mahasiswa Progresif Dan Ilmu

Mahasiswa dengan ilmu tidak boleh dipisahkan kerana ilmulah tujuan asasi mahasiswa berada di universiti. Iman Ghazali dalam Bidayatul Hidayah menyifatkan tujuan mencari ilmu adalah mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah. Ilmu yang dicari adalah ilmu yang bermanfaat dengan suluhan Al Quran dan Hadis yang akan mencetuskan ketakutan dan pengabdian diri kepada Allah. Orang yang berilmu juga adalah orang yang faham, taat kepada Allah dan beramal dengan ilmu yang di pelajari [Tuan Guru Abdul Hadi Awang]. Oleh sebab itu, sistem ilmu perlu diterbitkan daripada kegiatan akliah yang memerlukan imaginasi untuk menyusun maklumat dalam satu kerangka yang bermakna dan difahami [Anwar Ibrahim]. Sebagai mahasiswa yang berada di lembah keilmuan, peluang mencungkil ilmu di kampus tidak harus dilepaskan. Ilmu bukan sahaja untuk digunakan dalam pekerjaan tetapi dipraktikal dalam kehidupan sehari-harian. Ilmu yang didapati harus menjernihkan minda dengan suluhan dan bimbingan wahyu. Selaku mahasiswa yang berilmu, janganlah mahasiswa mencontohi perangai profesor kangkung yang begitu ramai di kampus dengan sifat mereka yang giat membodek untuk mendapat jawatan pentadbiran [akhirnya mereka berjaya mendapat jawatan TNC dan NC]. Profesor kangkung ini diakui bijak ini sanggup menjual kejujuran intelektual demi kebuncitan perut mereka [walapun mereka sudah boroi]. Mereka sombong dan riak dengan ilmu yang mereka ada, mereka inilah seperti yang dilukiskan oleh Allah sebagai orang berilmu tetapi tidak beramal dengan suluhan wahyu kerana tiada hidayah dan bongkak demi secangkir habuan dunia. Mahasiswa progresif seharusnya berani dengan hujahan ilmu bagi menentang kebathilan dan korupsi. Pembelajaran setiap ilmu hendaklah disuntik dengan roh Islam walaupun ilmu itu adalah fizik, kejuteraan, ekonomi atau sejarah. Serapkan ilmu-ilmu ini dengan suluhan roh Islam dan praktikalkan dalam kehidupan. Barulah mahasiswa progresif dalam merealisasikan apa yang diingini oleh Malek Bennabi, quwwat al ruh wa al-‘aql [kekuatan jiwa dan minda] terjelma kembali di dalam masyarakat kini. Mahasiswa progresif seperti ini akan mempunyai minda qur’ani-rabbani, mereka adalah generasi rabbaniyyin yang terbina tradisi pengajaran dan pemelajaran al kitab [Siddiq Fadil].

c. Mahasiswa Progresif Dan Masyarakat

Mahasiswa progresif perlu mengekalkan mereka sebagai jurubicara masyarakat di kalangan rakyat Malaysia. MP terutamanya beraliran Islamis perlu lebih aktif berperanan dalam isu kemasyarakatan. Di Malaysia, satu kekurangan yang terdapat dalam program Islamisasi ialah langkah-langkah lebih sistematis dan berkesan bagi mengatasi masalah dan penyakit sosial [Mohamad Abu Bakar]. Masalah-masalah seperti pengangguran, keciciran, penyalahgunaan dadah, pelacuran dan seumpamanya lebih didominasi oleh golongan non muslim. Alangkah indah jika mahasiswa progresif terutamanya yang berjiwa Islamis mengambil cakna tentang problem masyarakat ini. Mahasiswa Progresif perlu terjun ke dalam masyarakat tanpa memilih isu-isu popular sahaja. Mahasiswa progresif lebih selesa bermanjaan dengan isu seperti keadilan pilihan raya, isu Anwar Ibrahim, kebebasan media dan AUKU daripada isu-isu terpinggir seperti tekanan jiwa orang tua dan anak yatim, nasib orang Asli yang masih membuang air besar di sebalik pohon lalang dan kemiskinan rakyat di Sik. Ya, memang benar isu nasional mesti diutamakan tetapi isu-isu rakyat marhaen janganlah dikesampingkan. Mungkin agak sukar untuk kita mengatasi permasalahan rakyat marhaen kerana ketiadaan jentera organisai yang benar-benar mantap dan kekurangan dana kewangan tetapi mereka akan berasa puas hati setelah melihat kedatangan anak-anak muda yang bergelar mahasiswa cuba memahami suara hati nurani mereka dan mengambil berat tentang nasib mereka.

d. Mahasiswa Progresif Dalam Aktiviti Kebudayaan.

Mahasiswa perlu menjadi insan atau manusia yang memahami sifat dan kehendak fitrah manusia itu sendiri. Walaupun dunia sekarang mengejar kepentingan material melalui peluang pekerjaan, pembangunan, duit, sains dan bidang teknologi, jiwa insani mereka pada suatu masa nanti akan merasai begitu gersang sehingga berlakunya tekanan psikologi. Akibatnya mereka, pemuja material akan kembali kepada fitrah manusia itu sendiri iaitu agama dan elemen humanisme seperti seni dan budaya. Oleh sebab itu amalan spiritual mula mendapat tempat kembali di kalangan masyarakat Barat yang telah tepu dan mencapai tahap klimak dalam pembangunan material. Mahasiswa progresif seharusnya menjadi manusia nahdah dengan akal bukannya dengan jasad. Manusia nahdah mempunyai kefahaman terhadap seni berhujah dan falsafah, sastera dan muzik. Mereka juga bersifat mutafannin atau renaissane man [manusia pelbagai bidang] yang menjiwai ilmu kemanusiaan dan studi humanitatis [Anwar Ibrahim]. Bagi pelajar aliran Islam, bidang kebudayaan perlu didampingi dan perlu memahami asas pemikiran atau falsafah dan amalan harian setiap aktiviti kebudayaan berasaskan kemanusiaan serta mampu pula mengemukakan perspektif Islam dengan cara yang sebaik-baiknya [M. Salleh Yaapar]. Oleh sebab itu, dalam permasalahan cabang [selagi tidak menyalahi prinsip Islam], mahasiswa progresif terutamanya pelajar Islamis perlu menyediakan alternatif bukan menentang secara semberono aktiviti kebudayaan. Bacaan puisi dan teater boleh dijadikan medium utama untuk berdakwah. Dan bolehlah kita melihat mahasiswa progresif aliran Islamis akan bertempur dengan golongan nasionalis atau sosialis bukannya dalam pilihan raya kampus tetapi di atas ranjang aktiviti kebudayaan.

Rumusan.

1. Mahasiswa Progresif akan terus wujud bagi memperjuangkan isu-isu semasa dengan pendekatan berbeda.
2. Mahasiswa progresif beraliran Islamis akan terus berpengaruh di dalam kampus walaupun golongan Islamis tidak lagi menguasai tampuk MPP.
3. Hala tuju Mahasiswa Progresif memerlukan pengarahan semula agar suara mahasiswa progresif terus relevan disebalik dinamika zaman

hbb...
Read more >>

Friday, October 10, 2008

PUASA 6 DISATUKAN DGN PUASA QADA'

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):


كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ . رواه مسلم.


Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
var curDiv = document.getElementById('ln5');

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا . رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ . رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ . رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
PeRsoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا . رواه البخاري
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين
Read more >>