Pages

Thursday, May 21, 2009

SIAPAKAH INTELEKTUAL MUSLIM?

OLEH SHAHAROM TM SULAIMANshaharomtm@yahoo.com
Antara yang paling menonjol adalah Ziauddin Sardar. Beliau ialah seorang intelektual Muslim tersohor.
DALAM perspektif Islam, seorang intelektual bukan sahaja memahami sejarah bangsanya, melahirkan gagasan dan analisis yang cemerlang tetapi harus menguasai ajaran Islam termasuk bersikap kritikal dalam menilai sejarah serta berpegang teguh pada kejujuran ilmiah. Perkataan intelektual dalam Islam dapat dirujuk kepada perkataan ulul-albab yang disebut sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Menurut al-Quran, ulul-albab adalah kelompok manusia yang diberi keistimewaan oleh Allah.
Di antara keistimewaannya adalah diberi hikmah (kebijaksanaan) dan pengetahuan. Kajian dan wacana tentang peranan intelektual Muslim telah banyak diperkatakan oleh sekian banyak sarjana dan pemikir. Antara yang paling menonjol adalah Ziauddin Sardar. Beliau ialah seorang intelektual Muslim tersohor. Dalam bukunya, The Future of Muslim Civilization, beliau menegaskan: "Apakah yang dimaksudkan dengan intelektual Muslim? Intelektual Muslim adalah suatu segmen Muslim terdidik yang memiliki akses khusus kepada nilai-nilai budaya yang kerana itu dapat mengambil posisi kepemimpinan. Orang-orang terdidik tidak dengan sendirinya intelektual, mereka sering tidak peduli kepada hal apa pun, kecuali ilmu teknik atau bidang masing-masing. Modus pemikiran yang menjadi ciri intelektual adalah ideologi iaitu sebuah ideologi yang mengekspresikan pandangan dunia dan nilai-nilai budaya mereka." Dengan demikian, intelektual Muslim adalah lapisan Muslim terdidik yang mempunyai peranan khusus dalam mengembangkan nilai-nilai budaya. Kerana itulah, mereka dapat menjadi pemegang kepemimpinan dalam masyarakat. Manakala Deliar Noer, seorang intelektual Muslim Indonesia dalam bukunya, Masalah Ulama Intelektual atau Intelektual Ulama berpendapat, intelektual Muslim adalah para cendekiawan yang benar-benar bernafaskan Islam. Pemikiran mereka bukan terikat pada ilmu dan teologi, tetapi pada 'ideologi' Islam yang menjadi landasan berfikir dan pandangan hidupnya. Keterikatan mereka kepada ideologi Islam tidak mungkin ditawar-tawar, kerana mereka adalah intelektual yang menghayati Islam dan memperjuangkan kehidupan Islam di dalam masyarakat.
Manakala seorang lagi intelektual Muslim Indonesia, Azyurmadi Azra, dalam bukunya bertajuk Esei-Esei Intelektual Muslim & Pendidikan Islam menjelaskan peranan intelektual Muslim di dalam masyarakat. Pertama, peranan intelektual Muslim adalah menciptakan dan menyebarkan kebudayaan tinggi. Ia merupakan fungsi utama golongan intelektual. Dalam hal ini, kegiatan intelektual Muslim berusaha mengolah warisan kebudayaan, memperhalus, mengorek dan mengubah warisan-warisan itu dalam bentuk karya-karya baru. Edward Shills, seorang pemikir terkenal mengatakan: "Setiap angkatan cendekiawan melakukan fungsi ini bagi generasinya dan generasi berikutnya." Kaum intelektual Muslim menjadi ahli waris pusaka cendekiawan semua peradaban sebelumnya. Intelektual Muslim menerima dan mengolah pusaka itu menjadi sebuah peradaban dan kebudayaan baru. Untuk itu, para intelektual Muslim berkarya bukanlah terbatas untuk masyarakatnya sendiri, tetapi lebih jauh untuk kepentingan nasional dan antarabangsa, bahkan melahirkan kebudayaan yang bersifat antarabangsa.
Kedua, intelektual Muslim berperanan membina kebudayaan bersama. Dalam hal ini, intelektual Muslim membina masyarakat dengan landasan-landasan kebudayaan umum melalui lembaga-lembaga intelektual reproduktif seperti media, institusi pendidikan dan masjid. Melalui institusi-institusi ini, orang-orang awam menjadi 'sedar' akan adanya orang lain yang mampu memberikan anjakan paradigma baru kepada warga masyarakat. Dengan demikian, kaum intelektual Muslim tidak memencilkan diri atau terasing dengan masyarakatnya.
Peranan ketiga adalah mempengaruhi perubahan sosial. Dengan memberikan contoh-contoh dan norma-norma serta menampilkan lambang yang dapat dihargai, para intelektual berperanan membangkitkan, membimbing dan membentuk bakat-bakat dan daya-daya ekspresif di dalam masyarakat. Tetapi ini tidaklah bererti bahawa kehidupan ekspresif dalam suatu masyarakat secara eksklusif dikuasai oleh cendekiawan. Berkenaan dengan peranan ini, Muhammad Natsir dalam bukunya, Peranan Cendekiawan Muslim menegaskan: "Seandainya para cendekiawan Muslim kurang menyedari tempatnya dalam masyarakat, maka ia akan menjadi orang. 'Ahli' yang memberi nasihat menurut pesanan orang yang meminta. Tetapi kalau ia mengerti kedudukannya, maka si cendekiawan Muslim itu akan menjadi pusat gagasan dan sumber yang penuh kreativiti, penuh idea dan gagasan, memberikan perspektif dan pengarahan kepada lingkungan di sekelilingnya."
Di samping itu, para intelektual Muslim dituntut menghidupkan semangat persatuan di tengah umat yang berpecah hanya kerana perbezaan mazhab, mencari titik pertemuan daripada berbagai aliran pemikiran, menolak penafsiran agama yang melemahkan umat. Di samping itu juga, ia berusaha menanamkan sikap keterbukaan dan saling menghargai pendapat dalam masyarakat Islam selagi masih berada dalam acuan Islam. Namun, yang paling pentingnya adalah seorang intelektual harus memahami sejarah agama dan sejarah bangsanya dan bersikap kritikal dalam menilai sejarah kerana sejarah yang kita warisi banyak membentuk doktrin agama yang kita pegang dan tidak terlepas daripada kepentingan diri serta diwarnai oleh percaturan politik yang diabsahkan dalam bentuk doktrin agama. Oleh itu, para intelektual Muslim amat dituntut untuk berpegang teguh kepada kejujuran ilmiah tanpa dipengaruhi oleh sebarang 'kepentingan'. Dengan kata lain, peranan intelektual Muslim bukan sahaja memastikan umat atau masyarakat yang dipimpinnya berjaya di dunia dan dihormati tetapi juga membimbing masyarakatnya mendapat kejayaan di akhirat.
Read more >>

PENEMUAN

KESIHATAN

KETAHUI mengenai bahaya rawatan ulser yang mengandungi garam, kebaikan kacang walnut, penemuan vaksin JE dan kesan buruk akibat kurang tidur dalam ruangan penemuan minggu ini.
Ubat ulser undang sindrom Reye
RAWATAN yang mengandungi garam untuk ulser mulut dan kesakitan ketika tumbuh gigi bagi kanak-kanak berumur di bawah 16 tahun didapati mengundang risiko sindrom Reye.
Menurut Agensi Pengeluar Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) di United Kingdom, garam salicylate mempunyai kesan yang sama seperti aspirin.
Sindrom Reye sangat jarang berlaku namun ia penyakit itu sangat serius kerana boleh menjejaskan otak dan hati.
EKSTRA: Menurut American Journal of Clinical Nutrition, susu ibu yang mengandungi kurang protein berbanding susu formula memberi jawapan mengapa bayi yang menyusu menggunakan botol lebih cenderung mengalami obesiti.
Kacang walnut halang kanser
RISIKO barah payu dara dapat dikurangkan dengan memakan kacang walnut. Menurut Dr. Elaine Hardman dari Sekolah Perubatan Universiti Marshall, AS, kacang walnut mengandungi omega-3, asid lemak, antioksida dan phytosterols yang mampu mengurangkan risiko kanser tersebut.
EKSTRA: Satu kajian oleh Universiti Washington mendapati penggunaan ubat penahan sakit seperti ibuprofen tidak mampu menghalang penyakit Alzheimer.
Vaksin JE ditemui
VAKSIN Ixiaro yang digunakan untuk mengubati Japanese encephalitis (JE) yang berpunca daripada virus pembawaan nyamuk kini telah terbukti berkesan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat
Walaupun begitu, suntikan dua dos vaksin ini masih meninggalkan kesan sampingan seperti sakit kepala dan otot, bengkak serta keperitan pada bahagian yang disuntik.
EKSTRA: Ketua penyelidik Universiti Minnesota, Kristin Anderson, berkata, mereka yang sering memakan daging merah yang dipanggang berpotensi sehingga 60 peratus untuk menghidap kanser pankreas.
Gemuk kerana kurang tidur
MEREKA yang mendapat tidur yang cukup pada waktu malam dapat menghalang penyakit diabetes sehingga lima kali ganda.
Ujar seorang profesor di Universiti Buffalo, New York, Lisa Rafalson, kajian itu membuktikan terdapat hubungan jelas antara penyakit dan kekurangan tidur terutama di kalangan mereka yang telah berusia
Read more >>

Tuesday, May 5, 2009




SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT NA'IMAH & SUAMI

Read more >>