Pages

Monday, August 9, 2010

Malam Puisi Riong papar suara pemimpin

2010/08/02 berita harian
KUALA LUMPUR: Suara pemimpin pelbagai parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal dipadukan pada Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Galeri Kulliyah Seni Bina dan Seni Reka (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, jam 8.30 malam ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bakal membaca puisi buat julung kalinya pada malam puisi bertema `Gaza: Deritamu Palestin, Derita Kami’, sekali gus melancarkan Tabung Pendidikan dan Kemanusiaan Palestin ABIM
Selain Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, pemimpin politik dan NGO yang mendeklamasikan puisi ialah Presiden ABIM, Muhammad Razak Idris; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Mohd Nur Manuty.
Nasharudin berkata, gabungan suara rakyat Malaysia terhadap Palestin dan secara khususnya Gaza, menunjukkan sumbangan mereka dalam pelbagai bentuk termasuk puisi yang menjadi mesej kepada umat Islam di negara itu bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi keganasan Israel.

Katanya, isu umat Islam di Palestin, menghimpunkan manusia sejagat termasuk rakyat Malaysia pelbagai agama dan fahaman menyokong Gaza serta Palestin.

“Sumbangan kepada rakyat Palestin boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti ditegaskan dalam buku Sheikh Raed Salah, pengarang yang ditahan Israel dan turut terbabit dalam konvoi kapal Freedom Flotilla,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nur berkata, Malam Puisi Riong menjadi tanda kesepaduan yang merentasi sempadan politik dan negara terhadap kesengsaraan dan kesempitan rakyat Palestin termasuk penduduk Gaza.
“Kita sebahagian daripada ummah dan rakyat Malaysia perlu menyatakan sokongan moral, dokongan kebendaan dan apa saja sumbangan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Malam Puisi Riong BH-ABIM yang mendapat kerjasama Global Peace Malaysia (GPM) dan UIAM, mempersembahkan deklamasi puisi oleh Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Profesor Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS) UIAM, Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Turut dimeriahkan majlis itu adalah Peneliti Mushaf Malaysia Yayasan Restu, Muhammad Uthman el-Muhammadi; Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin; Karyawan Tamu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datin Seri Fatini Yaacob dan penyair, Marsli NO.

Ia juga dimeriahkan dengan lagu puisi oleh penyanyi lagu bernafas ketuhanan, Ramli Sarip; Peserta Akademi Nasyid Ketiga, Mohd Shukri Nasron atau lebih dikenali sebagai Cicik dan penyanyi lagu puisi dari Pulau Pinang, Ahmad Ramli

0 comments: